FELCRA umum Agihan Akhir Keuntungan RM302.9 juta tahun 2025

Foto Facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

BAGAN DATUK, 7 Mac – FELCRA Berhad mengumumkan Agihan Akhir Keuntungan Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) bagi tahun kewangan 2025 berjumlah RM302.9 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melibatkan 71,680 peserta FELCRA di seluruh negara.
  • Jumlah keseluruhan agihan keuntungan 2025 termasuk interim dan bulanan RM632,758,000.
  • Prestasi terbaik dalam 15 tahun dan kedua terbaik sejak penubuhan FELCRA pada 1966.
  • Pembayaran telah bermula melalui pemindahan dana elektronik dan dijangka selesai dalam dua hingga tiga hari.

Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata agihan itu melibatkan 71,680 peserta FELCRA di seluruh negara.

Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan agihan keuntungan FELCRA bagi tahun 2025 sebanyak RM632,758,000 termasuk agihan interim dan bulanan.

Pencapaian berkenaan merupakan prestasi terbaik FELCRA dalam tempoh 15 tahun dan kedua terbaik dalam sejarah penubuhannya sejak 1966.

“Kita berharap dapat mengekalkan momentum yang sama pada tahun ini. Kita yakin di bawah pengurusan baharu dan kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CESB yang baharu, pengurusan ladang dapat dipertingkatkan melalui amalan pertanian yang lebih baik sekali gus meningkatkan keuntungan.

“Pembayaran telah mula dilaksanakan sejak semalam secara berperingkat melalui pemindahan dana elektronik (EFT) terus ke dalam akaun peserta dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kemajuan Desa dan Wilayah di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Prestasi itu didorong peningkatan harga komoditi khususnya kelapa sawit serta pengukuhan produktiviti ladang.

Dalam majlis sama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada pelajar sekolah tahfiz di sekitar Bagan Datuk.