KUALA PERLIS, 13 Januari - Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) melaksanakan 60 program bagi tempoh 2022 hingga 2024 melibatkan penyertaan lebih 5,000 peserta.
Ia terdiri daripada pelajar sekolah dan universiti serta profesional bagi meningkatkan dan anjakan perubahan dalam sektor pendidikan rakyat negeri Perlis.
Ini termasuklah program bersiri seperti Professional Learning Community (PLC) bagi guru-guru, AI and Robotic Educational Club (AiRED), Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM), Program Transformasi Intelek SPM dan Geran Penyelidikan data tertumpu Perlis.
Menurut Pengerusi Pusat Kecemerlangan Faizuddin (FCoEE) Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, FCoEE memainkan peranan sebagai organisasi yang membantu sistem pendidikan dengan memberi nilai tambah, menyokong komuniti pendidikan mampan, mengintegrasikan pendidikan pintar dan tradisional.
Selain itu, turut menekankan program pendidikan praktikal untuk melahirkan masyarakat Perlis yang berdaya saing dan berkebolehpasaran tinggi.
FCoEE turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuklah Kerajaan Negeri Perlis, Institusi Pengajian, Universiti, agensi-agensi dan beberapa syarikat persendirian yang sentiasa komited membantu menjayakan setiap program FCoEE.
"Semua yang kita buat ini, memberi impak yang besarlah kepada terutamanya anak-anak asnaf, kepada pelajar-pelajar, pada guru-guru, pelajar-pelajar universiti, kepada masyarakat, ibu bapa dan sebagainya. Jadi saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberi komitmen yang tertinggilah kepada FCoEE dan mulai pada tahun 2025 ini, lebih banyak lagi aktiviti yang berimpak mengikut hala tuju yang akan kita tetapkan," kata Dr Kamarudin.
Beliau memaklumkanya pada Majlis Apresiasi FCoEE 2024 di Ocean Glow, Putra Brasmana, Kuala Perlis yang dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi meraikan kejayaan dan komitmen semua pihak bertungkus lumus dalam menjayakan pelbagai inisiatif FCoEE bagi sepanjang tahun 2024.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut menyempurnakan pengurniaan sijil dan cenderahati kepada rakan strategik FCoEE serta penasihat Program FCoEE dan rakan media.