
KUALA LUMPUR, 6 April -Seorang indvidu Mohd Fauzan Madzlan kesal menyebar fitnah melibatkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kes saman fitnah diselesaikan di Mahkamah Tinggi hari ini.
- Penyelesaian dicapai melalui penghakiman persetujuan selepas kedua pihak bersetuju menamatkan pertikaian.
- Defendan mengaku kenyataan di Facebook "N13 Kuang" tidak tepat dan mengakui ucapan Fahmi bukan kempen politik.
- Defendan menyatakan kesal terhadap salah faham timbul akibat kenyataan berunsur fitnah.
- Plaintif menuntut ganti rugi serta injunksi untuk menghalang pengulangan atau penerbitan semula pernyataan fitnah.
Penyelesaian dicapai menerusi penghakiman persetujuan yang direkodkan di hadapan hakim, selepas kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian.
Dalam sidang media hari ini, Peguam Fahri Azzat yang mewakili Datuk Fahmi, memaklumkan defendan mengakui bahawa kenyataan yang dimuat naik sebelum ini adalah tidak tepat.
“Terdapat dua perkara. Pertama, defendan telah mengakui bahawa ucapan YB Fahmi pada hari tersebut bukan merupakan kempen politik dan tidak berbaur politik.
“Kedua, defendan berasa kesal terhadap sebarang salah faham yang timbul akibat kenyataan yang dikeluarkan di Facebook “N13 Kuang”, yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan telah menjadi subjek kes pada hari ini,” katanya ketika ditemui media menghargai pengakuan tersebut dan menyifatkan penyelesaian secara baik itu sebagai langkah positif.
Dalam pada itu, Datuk Fahmi semasa ditemui media menghargai pengakuan Mohd Fauzan serta persetujuan untuk kedua-dua pihak menyelesaikan dengan cara baik.
“Pengesahan beliau (Mohd Fauzan) itu amat saya hargai dan saya tunggu bersama dengan pasukan peguam sama ada dua kes seterusnya akan diteruskan atau tidak,” katanya.
Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 5 September 2023, Datuk Fahmi mendakwa tiga individu telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Datuk Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.
Beliau berkata kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.