MELAKA, 23 Februari- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan nilai Jualan Agro MADANI sebanyak RM4 juta di negeri itu pada tahun ini.
Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka Low Chee Leong yakin, sasaran itu berjaya dicapai selepas melihat kejayaan tahun lalu.
"Sehingga 18 Februari kita telah mencapai 61 program iaitu 15 persen target dan nilai jualan untuk tahun ini kita mensasarkan RM4 juta.
"Sehingga 18 Februari kita dah mencapai RM1.08 juta Malaysia dan saya yakin FAMA Melaka akan mencapai bukan sahaja mencapai target tetapi akan melebihi apa yang kita sasarkan itu," ditemui media selepas melancarkan program Jualan Agro Madani di sebuah Pusat Beli-Belah di Bandaraya Melaka.
Pada tahun lalu, FAMA Melaka memperoleh nilai jualan hampir RM6 juta menerusi 301 program Agro MADANI di seluruh negeri itu.
Angka itu menunjukkan lebihan hasil jualan berbanding yang disasarkan iaitu RM3.5 juta.
Dalam perkembangan lain FAMA Melaka dijangka melaksana tujuh Pasar Agro Madani khas sempena Ramadan tahun ini.
Pengarah FAMA Melaka Nor Azhar Abdul Hamid berkata, antara lokasi pasar khas itu melibatkan Tapak Pasar Tani Jasin; Tapak Pasar Tani Tun Kudu; Tapak Pasar Tani Alor Gajah dan Tapak Pasar Tani Masjid Tanah.
Kira-kira 15 hingga 30 peniaga akan menyertai pasar khas berkenaan yang beroperasi mengikut jadual sepanjang Ramadan.
"Jadi kita akan tumpu kepada barangan-barangan sempena kita menyambut bulan Ramadan. Kita akan tumpu kepada daging, ayam dan sebagainya.
"Kita juga akan buat jualan-jualan seperti kombo MADANI barangan-barangan asas khususnya untuk rakyat negeri Melaka," katanya selepas melancarkan Program Jualan Agro MADANI di sebuah pusat beli-belah di Bandaraya Melaka.
FAMA Melaka turut menambah dua lokasi baharu pasar tani bagi memastikan pengguna mendapatkan bekalan makanan mencukupi pada harga berpatutan.