KUALA LUMPUR, 6 Mac – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan FAMA Corporation Sdn. Bhd. (FAMACO) telah mengimport sebanyak 734 tan metrik kelapa tua dikupas dari Sabah dan Indonesia sehingga 4 Mac lalu bagi memastikan kestabilan bekalan serta harga kelapa di pasaran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata langkah itu melibatkan nilai belian berjumlah RM2.01 juta dan sebahagian bekalan telah diagihkan kepada 16 pemborong serta 202 usahawan santan di seluruh negara.
"Bekalan kelapa ini telah diedarkan melalui 42 Pusat Operasi FAMA serta 509 outlet pemasaran termasuk Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), Agrobazaar Rakyat (ABR), Pasar Tani, dan Pasar Tani Kekal," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha ini akan membantu menstabilkan harga dan memastikan kelangsungan bekalan kepada industri pemprosesan santan serta produk berasaskan kelapa lain.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa kementeriannya melalui FAMA akan membawa masuk 640 tan metrik kelapa tua setiap bulan daripada Indonesia, Sabah, dan Sarawak bagi memastikan bekalan kelapa di Semenanjung Malaysia tidak terputus, terutamanya menjelang musim perayaan.
"Langkah ini bagi memastikan bekalan kelapa sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan pasaran, terutama ketika permintaan meningkat pada musim perayaan," jelasnya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, di Parlimen hari ini.