KUALA LUMPUR, 6 Mac- Malaysia tetap dengan pendirian menolak sebarang cadangan pengilhakan Gaza atau usaha memindahkan rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan secara paksa, menurut Kementerian Luar Negeri.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pendirian itu akan ditegaskan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan semasa Sesi Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi pada 7 Mac ini.
Sesi itu akan membincangkan perkembangan gencatan senjata di Gaza serta kegusaran berhubung cadangan pengilhakan Gaza yang akan mengakibatkan pemindahan secara paksa rakyat Palestin daripada tanah air mereka.
Mohamad juga akan menzahirkan komitmen penuh Malaysia dalam membantu usaha pembinaan semula dan pemulihan Gaza termasuk dengan mengadakan kerjasama pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan inisiatif serantau.
"Penyertaan Menteri Luar ke Sesi Tergempar ini menggariskan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dalam mewujudkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya," menurut kenyataan kementerian.