KUALA LUMPUR, 18 Januari- Sumbangan sebanyak RM10,000 diberikan untuk menyokong inisiatif berbasikal di bawah Kelab Berbasikal Bandaraya Kuala Lumpur, sekali gus merancakkan gaya hidup sihat.
Pengumuman itu dibuat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil sempena penganjuran Kayuhan Amal Mesra 50 Tahun Wilayah Persekutan, yang turut memberi penghormatan kepada bekas atlet berbasikal negara atas sumbangan mereka kepada sukan itu.
Beliau berkata acara tersebut bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi juga merupakan platform bermakna untuk mengenang dan menghargai pengorbanan bekas atlet berbasikal negara yang telah membawa kebanggaan kepada Malaysia di pentas antarabangsa.
"Saya merasakan sebagai ahli Parlimen di Kuala Lumpur, ada keperluan untuk kami, ahli parlimen memberi sokongan, dukungan termasuk kepada kelab-kelab di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
"... dan harapan saya, kelab ini akan dapat terus menjalankan aktiviti mengumpul lebih ramai ahli kerana yang penting ia merancakkan dan meningkatkan semangat kalangan warga kota termasuk dari kalangan warga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat", ujarnya.
Beliau berucap dalam majlis penghargaan dan sumbangan kepada bekas-bekas berbasikal negara sempena Penganjuran Kayuhan Amal Mesra 50 tahun Wilayah Persekutuan.
Kayuhan amal yang dijadualkan pada bulan September tahun ini, bakal menyaksikan penyertaan lebih 400 peserta bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan penduduk Kuala Lumpur.
Semasa berucap, Fahmi mengulangi keperluan pemeriksaan kesihatan secara berkala, menekankan kepentingan memantau paras gula dalam darah, kolesterol dan tekanan darah, selain menggalakkan warga kota termasuk kakitangan DBKL mengamalkan gaya hidup lebih sihat melalui aktiviti seperti berbasikal.
Beliau turut mengiktiraf usaha DBKL dalam menangani isu seperti kesesakan lalu lintas dan kenderaan terbiar di kawasan perumahan awam.