fb fb fb fb fb

Fahmi sasar pertingkat capaian internet 12 buah sekolah di Lembah Pantai

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 21 Mac- Capaian internet yang lebih pantas adalah salah satu agenda yang diberi keutamaan bagi membantu 12 sekolah di dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai, tahun ini.

Ahli Parlimennya, Fahmi Fadzil berkata usaha itu adalah kesinambungan kepada inisiatif yang dilaksanakannya tahun lepas iaitu membaik pulih prasarana internet di sekolah-sekolah.

"Tahun lalu, saya menyediakan peruntukan hampir RM1 juta untuk membaik pulih prasarana internet di sekolah-sekolah dengan pemasangan "access point" tambahan. Itu adalah sebagai permulaan. Selepas ini, kita akan teliti keperluan internet di bilik darjah selain daripada pusat sumber, makmal dan bilik guru."

"Namun, kita juga akan fokus kepada internet yang lebih pantas selain daripada peralatan yang mungkin belum mencukupi. Ini yang kita akan usahakan tahun ini," kata Fahmi kepada pemberita selepas Program Sumbangan Alat Peranti kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswathy, Jalan Klang Lama, di ibu negara.

Sementara itu, sebanyak dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan Parlimen Lembah Pantai menerima komputer riba dan LCD projektor sumbangan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA.)

Menteri Komunikasi yang juga ahli parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata sumbangan berjumlah RM30,000 itu adalah sebahagian daripada dana MITRA kepada setiap kawasan parlimen.

"Salah satunya di SJKT Saraswathy ini. Di sini, kita serahkan sumbangan sebanyak enam buah laptop dengan satu pemancar visual manakala di SJKT Bangsar, mereka memerlukan satu pemancar visual."

"Insya-Allah, ada beberapa perkara telah dibangkitkan termasuk keperluan bagi makmal komputer. Nanti saya akan susuli, mungkin kita akan tambah peruntukan untuk sekolah. Kita bantu segera dan telah dimaklumkan kepada saya wujud masalah capaian internet. Saya akan bincang dengan pihak Unifi, untuk tambah baik kelajuan internet di sekolah ini," tambah Fahmi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM