PUTRAJAYA, 15 Mei - Penyedia platform Facebook, Meta Platforms Inc (Meta) perlu memberikan penjelasan mengenai tindakan mereka menurunkan laporan berita pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan menghantar surat kepada Meta bagi menuntut penjelasan berhubung perkara itu yang disifatkan jelas melanggar hak kebebasan media di negara ini.
“Dalam pertemuan Perdana Menteri bersama pimpinan sayap politik Hamas baru-baru ini, terdapat tiga (organisasi) media maklumkan kepada pejabat saya bahawa posting mereka, khususnya dalam Meta diturunkan.
“Saya kecam tindakan Meta menurunkan artikel atau posting daripada media, apatah lagi kerana ini adalah laporan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar dan pertemuan dengan sayap politik sebuah organisasi, bukan sayap militan atau ketenteraan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh, di Doha dalam lawatan rasmi beliau ke Qatar.
Dalam pertemuan tertutup lebih sejam itu Anwar menegaskan komitmen Malaysia akan berterusan dalam usaha memberi tekanan agar serangan ke atas Rafah dihentikan.
Ia adalah pertemuan pertama Anwar dengan Haniyeh secara bersemuka selepas beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.