AMPANG, 6 Julai- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan bertemu dengan semua penyedia platform media sosial di Malaysia pada akhir bulan ini bagi memperincikan pengurusan isu buli siber.
Pertemuan itu dilakukan berikutan Kementerian Komunikasi tidak berpuas hati dengan komitmen penyedia platform dalam mengendali isu buli siber.
Pada masa sama, semua penyedia platform perlu lebih bertanggungjawab dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang di negara ini bagi mengendali aduan berkaitan perkara berkenaan.
"...insya-Allah dalam minggu ini dalam beberapa hari ke depan ini saya telah memanggil satu mesyuarat antara Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC), pihak TikTok, Jabatan Peguam Negara dan beberapa pihak lain untuk kita lihat secara terperinci berdasarkan aduan-aduan yang pernah diterima," katanya.
Dalam perkembangan lain kerajaan sedang melaksanakan pindaan kepada Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam usaha memastikan keselamatan dan kebajikan penggiat industri kreatif.
Pindaan itu antara lain termasuklah caruman Pertubuhan Keselamatan Pekerja (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan masa depan penggiat seni lebih terjamin.
Fahmi Fadzil berkata, draf berkaitan pindaan itu dalam proses penambahbaikan bagi mengikut peredaran dan situasi realiti semasa negara.
"...untuk para penggiat seni filem ada beberapa manfaat yang boleh diterima sekarang dan bagi ekosistem secara keseluruhan kita harap bila kita pinda akta finas nanti akan ada satu hala tuju yang baru untuk filem Malaysia," katanya kepada pemberita semasa sesi jelajah mesra Konvensyen Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) 2024 di sini.