fb fb fb fb fb

Fadillah: Pengamal media perisai tangkis elemen negatif di media sosial

Majlis Makan Malam Gala Jubli Intan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM)/Foto Facebook TPM

KUALA LUMPUR, 13 November - Pengamal media perlu bertindak sebagai rakan komunikasi strategik kerajaan untuk membendung elemen-elemen negatif di media sosial termasuk buli siber dan penyebaran berita palsu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kepantasan penyebaran maklumat dan berita dalam dunia digital ketika ini serta kemunculan kecerdasan buatan (AI) memerlukan kesiapsiagaan yang tinggi semua pihak termasuk media.

Jelasnya, perkembangan teknologi boleh menjadi kelebihan namun jika tidak berwaspada terhadap penyebaran pelbagai maklumat di media sosial, ia mampu mencetuskan masalah yang membimbangkan.

"Inilah cabaran yang sedang dihadapi negara dan kita semua. Biarpun kita tidak menolak kepesatan teknologi maklumat, namun sikap waspada yang tinggi perlu ada.

“Di samping melaporkan kes buli siber, penipuan dan sebagainya, peranan pengamal media juga sebagai perisai dalam menangkis berita-berita palsu yang terus memenuhi segenap media sosial.

"Ini bagi memastikan platform media sosial yang terus berkembang ini tidak digunakan sebagai perkakas untuk menyebar elemen
kebencian antara kaum dan agama -- menghasut dan menyebar fitnah serta perkara negatif lain yang boleh menjejaskan ketenteraman awam," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Jubli Intan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) di sini, pada malam Selasa.

Menurut beliau, kerajaan memandang serius perkembangan elemen negatif seumpama itu yang dilihat terus melebar tanpa henti dalam masyarakat.

"Elemen ini jika tidak dibendung dan ditangani secara tuntas, boleh menjadi satu malapetaka besar kepada kita semua.

"Jadi, media arus perdana untuk memainkan peranan dan tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman dan bahayanya sekiranya terjebak dengan jenayah media sosial," katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM150,000 kepada NUJM untuk membantu kesatuan itu memperkukuhkan peranan menjaga kebajikan wartawan dan pekerja media di Malaysia.

"NUJM sudah membuktikan peranan dan tanggungjawabnya sebagai wadah dalam memperjuang kebajikan wartawan dan pekerja media di Malaysia.

"NUJM yang usianya sudah menjangkau 62 tahun ini, mempunyai tugas penting antaranya untuk terus berunding dengan majikan-majikan dalam mencari titik persefahaman bersama," jelasnya.

Tambahnya, komitmen ini memerlukan kesungguhan yang tinggi dan merupakan satu tugas berat yang perlu dipikul kepimpinan NUJM disemua peringkat.

"Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini, industri media antara segmen ekonomi yang turut menerima kesan langsung," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN