fb fb fb fb fb

Fadhlina sangkal dakwaan istilah kafir, bakal heret ke muka pengadilan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Mac - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyangkal tuduhan liar sesetengah pihak berhubung penggunaan istilah kafir yang kini tular di media sosial.

Fadhlina turut menyelar tindakan individu menyebarkan poster dengan memaparkan gambar beliau diikuti kapsyen yang dipetik luar konteks.

"Saya tidak kompromi soal fitnah dan tuduhan jahat, serta kesengajaan penyelewengan konteks, lebih-lebih lagi ancaman keselamatan terhadap diri saya dan keluarga.

"Poster ini disengajakan penghasilannya untuk mencipta polemik bagi mengherotkan makna asal daripada keratan video tular, yang memaparkan saya sedang berucap dengan menyebutkan bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya mengungkapkan istilah "kafir" di rumah.

"Keratan video ini diambil dan dimuatnaik di media sosial daripada suatu pertemuan tertutup dengan kumpulan tertentu. Kemudiannya keratan video ini diambil oleh kelompok lain dan ditularkan dengan tafsiran terseleweng dan di luar konteks.

"Dalam rakaman video tersebut (acara tertutup), saya menyinggung perihal penyebaran sentimen kebencian, sikap ghuluw (melampau) dan gejala takfiri dalam kalangan segelintir masyarakat sehinggakan menuduh saya dengan tuduhan fitnah, antaranya seperti telahan bahawa hidup saya tidak berkat kerana saya bekerja untuk orang kafir," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menjelaskan, bahawa beliau tidak membenarkan anak-anaknya menyebut istilah kafir yang mempunyai konotasi kebencian terhadap kaum bukan beragama Islam yang mana hidup bersama dalam negara ini.

"Isu sebutan kafir atau non-Muslim bukanlah tindakan saya melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan dalam al-Quran .... (sebaliknya) memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian.

"Hakikatnya, langsung tidak timbul isu menghalang penggunaan istilah dalam al-Quran, malah tiada penafian istilah daripada al-Quran sebagaimana didakwa pihak-pihak tertentu," katanya.

Sentimen "tidak benar dan fitnah" ini menular kepada anak-anak di sekolah hasil interaksi dengan orang lebih dewasa yang mengambil pendekatan melampau, katanya.

"Saya sendiri tidak pernah berhasrat untuk mengomentari isu tersebut. Keratan video yang tular telah diambil di luar konsensus dan juga diselewengkan konteksnya.

"Malah, sesiapa yang mendengar ucapan dalam video tersebut dapat menilai konteks sebenar yang saya hasratkan.

"Ternyata, ia adalah suatu percubaan jahat yang ingin mencalarkan imej dan kredibiliti saya, seterusnya berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkait "3R" dengan melakukan pemesongan makna dan menyebabkan saya ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah, malah diancam keselamatan," katanya.

Semalam, Fadhlina membuat laporan polis dan bakal mengambil tindakan undang-undang susulan penyebaran hantaran berbaur fitnah terhadapnya di laman sosial.

Hantaran yang tular itu menuduh Fadhlina menyebut "perkataan kafir pun saya haramkan di rumah" dan "perkataan kafir pun saya haramkan di rumah saya."

Fadhlina turut menerima ugutan susulan perkongsian video dan imej yang telah diedit pada hantaran di Facebook dan tular di media sosial.

Sehubungan itu, beliau berkata peguamnya dalam proses mengumpulkan bukti menerusi media sosial yang pelbagai termasuklah dalam bentuk hantaran, kongsian, komentar dan lain-lain medium.

"Kelihatan banyak pengguna media sosial telah bertindak di luar kawalan termasuk terlalu melampau dalam bereaksi," katanya.

Susulan itu, Fadhlina memohon maaf berhubung penularan klip video pendek yang memetik beliau sebagai berkata bahawa perkataan kafir "diharamkan" di rumahnya.

“Saya ingin memohon maaf sekiranya ada mengguris perasaan mana-mana pihak atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan khilaf yang datang daripada kelemahan diri saya,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN