
GUA MUSANG, 11 Februari – Kuih tradisional Cina, ‘Fa Gao’ yang kembang mekar seperti bunga antara hidangan yang mendapat permintaan tinggi setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.
- Permintaan Fa Gao meningkat mendadak menjelang Tahun Baharu Cina, memaksa pengusaha hasilkan lebih 1,000 biji sehari.
- Proses pembuatan melibatkan penapaian nasi dengan ragi dan gula, kemudian dikukus selepas dicampur tepung beras.
- Warna merah jambu dan kuning serta tekstur merekah melambangkan ong tuah dan huat kekayaan.
- Fa Gao diletakkan di meja sembahyang dan dihidangkan semasa rumah terbuka sebagai simbol doa rezeki dan kemakmuran.
Bagi pengusaha kuih tersebut di Kampung Baru, Gua Musang, Cheong Wan Choo, tempahan meningkat mendadak menjelang perayaan sehingga beliau perlu menghasilkan lebih 1,000 biji sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Menurut Wan Choo, kuih yang menyerupai apam mekar itu dimasak secara kukus dan mempunyai makna simbolik kepada masyarakat Cina.
“Dekat raya baru boleh buat. Awal-awal tak boleh buat sebab pelanggan tak mahu simpan lama. Buat nasi, letak ragi dan gula, simpan dua hari, lepas itu kena mesin.
“Letak tepung beras baru boleh kukus. Susah buat kalau guna tangan, dapat 20 biji saja. Tangan tak kuat, jadi kita guna mesin,” katanya.
Wan Choo yang mempunyai pengalaman 15 tahun menghasilkan kuih Fa Gao berkata, penggunaan warna merah jambu dan kuning serta tekstur kuih yang merekah membawa maksud ‘ong’ atau tuah dan ‘huat’ yang melambangkan kekayaan.
Katanya, selain diletakkan di meja sembahyang sebagai simbol doa memohon kemurahan rezeki dan kemakmuran hidup, kuih tersebut turut dihidangkan ketika rumah terbuka bersama keluarga dan rakan taulan.