IPOH, 7 Disember- Seorang peniaga dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak kerana menyembunyikan minyak masak paket dan gula bersubsidi.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan berkata, operasi dilakukan pasukan penguatkuasa KPDN di sebuah pasar mini di Taman Sejahtera Jaya, Kampar sekitar pukul 10.15 pagi semalam.
Ia susulan aduan orang awam berkenaan premis itu enggan menjual minyak peket dan gula kepada warga tempatan.
"Menerusi Op Samar, pihaknya melakukan uji beli, namun seorang pekerja memaklumkan minyak masak paket 1 kilogram (kg) apabila diminta.
"Curiga dengan kenyataan itu, anggota KPDN Perak melakukan pemeriksaan menyeluruh dengan dihadiri seorang wanita berusia 48 tahun yang disyaki pemilik premis," katanya.
Hasil pemeriksaan menemukan 90 kg minyak masak paket dan 216 kg gula pasir kasar disembunyikan dalam premis terbabit.
"Wanita terbabit gagal memberi penjelasan berhubung keengganan pihaknya menjual barang kawalan tersebut apabila diminta.
"Kesemua barang kawalan terbabit disita berserta salinan lesen runcit barang kawalan, salinan lesen pendaftaran syarikat (SSM) dan salinan lesen majlis (PBT) serta dokumen urusniaga yang berkaitan bernilai lebih RM800," katanya lagi.
Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16A(1)(b) iaitu enggan menjual barang kawalan kecuali dengan kebenaran Pengawal Bekalan.