KANGAR, 7 Februari - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengenal pasti tindakan serta peraturan yang boleh diambil terhadap penjual produk penyedut hidung atau dikenali sebagai 'energy stick' dalam kalangan kanak-kanak sekolah.
Ini susulan pelbagai aduan yang diterima oleh KKM berkaitan produk berkenaan terutamanya daripada pihak Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya kini sedang meneliti tindakan dan peraturan yang boleh diambil untuk menghalang agar penyedut hidung ini daripada terus dijual di pasaran.
Jelas Lukanisman, perkara ini masih baru kerana sehingga kini tiada data terperinci berkaitan kesan penggunaan produk berkenaan dalam kalangan kanak-kanak.
Tambah Lukanisman, KKM sedang memantau perkara berkenaan secara berterusan.
"Daripada pihak KKM sendiri, kita akan melihat apakah bentuk peraturan dan juga tindakan yang kita boleh ambil untuk mengelak Nasal Inhaler ini yang menyerupai vape.
"Pengedar dan juga yang menjual produk ini haruslah rasional dan menjual bukan untuk mengaut keuntungan tetapi juga perlu melihat kesan mudarat kepada para pengguna lain", katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Wellness Hub UTC Perlis dan Program Advokasi Mengurangkan Gula serta Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Perlis di sini.
Turut hadir, Exco Kesihatan Negeri Perlis, Megat Hashirat Hassan dan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr Ismuni Bohari.