KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Enam peserta terbaik atau digelar Sitara melangkah penuh gemilang ke pentas akhir Bintang Klasik 2025 selepas menewaskan 12 peserta lain pada prakemuncak yang berlangsung malam ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, di sini.
Mereka yang layak ialah Ranisha, Syaimaa, Azmirul, Saiful, Hakimi dan Ikmal, dan bakal berentap pada 27 September depan bagi merebut gelaran juara.
Prakemuncak yang menampilkan 12 peserta menyaksikan persaingan sengit dengan persembahan bertenaga serta penghayatan tinggi terhadap lagu-lagu klasik, sehingga menyukarkan juri untuk memilih hanya separuh daripada mereka mara ke peringkat akhir.
Pengurus Radio Klasik, Ku Mohamad Arafat Ku Mustafa berkata cabaran utama peserta muda adalah untuk benar-benar menghayati lagu-lagu klasik yang semakin jarang didengari generasi kini.
Pengurus Radio Klasik, Ku Mohamad Arafat Ku Mustafa
“Di Radio Klasik, kami sentiasa memperjuangkan irama klasik dan lagu malar segar. Usaha ini bukan sahaja untuk memelihara warisan muzik, tetapi juga menarik minat generasi muda agar terus menyayangi keindahan lagu-lagu abadi ini.
"Untuk pentas kemuncak Bintang Klasik nanti, peserta akan diberi cabaran menyanyikan lagu-lagu yang jarang didengar, khususnya oleh generasi muda berusia 20 hingga 30-an, sekali gus menguji kemampuan mereka menjiwai warisan muzik negara,” katanya selepas prakemuncak Bintang Klasik 2025.
Tambah beliau, pentas akhir kali ini bakal lebih mencabar apabila enam Sitara diberikan lagu jarang dimainkan hasil pemilihan Radio Klasik bersama panel pakar, sebagai ujian sebenar penguasaan warisan muzik klasik.
Bintang Klasik yang dianjurkan dua tahun sekali itu terus mendapat sokongan padu, apabila Auditorium Seri Angkasa dipenuhi penonton yang memberi sorakan semangat kepada peserta.