fb fb fb fb fb

Enam dekad PSSCM pelihara warisan persilatan Melayu

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin/ BERNAMA

ALOR SETAR, 28 Disember - Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) meraikan 60 tahun penubuhannya, menandakan enam dekad sumbangan berterusan dalam memelihara warisan persilatan Melayu serta pembangunan masyarakat dan negara.

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang juga Timbalan Penaung PSSCM bertitah PSSCM berjaya melahirkan ramai cendekiawan serta menghasilkan 60 judul kajian ilmiah dan penyelidikan.

"Beta percaya bahawa segala usaha ini adalah untuk generasi akan datang yang perlu dibimbing dengan ilmu dan budaya kerana mereka adalah pewaris yang menyumbang kepada pembangunan semula tamadun.

"Pembangunan tamadun bermula daripada ilmu yang tersusun melalui kajian ilmiah dan penyelidikan budaya. Beta merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia atas penganjuran program pada malam ini," titah baginda.

Tengku Sarafudin bertitah demikian pada Majlis Malam Gemilang 'Sirih Pulang Ke Gagang' bersempena dengan Sambutan Jubli Intan 60 tahun Silat Cekak di sini, malam tadi.

Sementara itu, Presiden PSSCM Datuk Maideen Kadir Shah berkata pemilihan Kedah sebagai lokasi program sebagai penghargaan kepada asal usul dan warisan persilatan yang bermula di negeri itu sebelum berkembang ke seluruh negara.

"Pengamalan budaya dan sejarah ini menghubungkan generasi kini dengan warisan silat kebangsaan. Naungan Sultan dan Raja Muda Kedah dilihat sebagai usaha untuk memelihara kesucian, keaslian, serta kesinambungan Silat Cekak. Institusi beraja berperanan sebagai simbol penyatuan dan pelindung pusaka warisan kebangsaan," katanya.

Dengan kepimpinan berwibawa, keahlian berdisiplin serta naungan institusi diraja, PSSCM diyakini akan terus memainkan peranan penting dalam memelihara dan memartabatkan warisan silat Melayu sebagai lambang identiti, maruah dan jati diri bangsa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI