fb fb fb fb fb

Empat skrin gergasi di Banda Hilir bantu pengunjung, pelancong

Bangunan Stadhuys

PAYA RUMPUT, 15 Februari- Empat skrin gergasi akan disediakan di sekitar Bandar Hilir, bagi Program Rapat Umum Bahtera Merdeka pada 20 Februari ini bersempena dengan Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Negara.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, ia bagi memudahkan pengunjung yang datang untuk menyaksikan program khas yang diatur di sekitar Bangunan Stadhuys pada malam tarikh tersebut. 

"Jadi MBMB sedia untuk membantu dari segi penyelarasan, parkir dan kemudahan trafik di kawasan tersebut. Saya difahamkan ada empat skrin gergasi akan dipasang di sekililing Banda Hilir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perasmian Program Gunting Rambut Percuma Kembali ke Sekolah yang disempurnakan Exco Kanan negeri, Datuk Rais Yasin di sini.

Selain itu pada tarikh tersebut kerajaan negeri juga menawarkan kemasukan percuma di 11 produk pelancongan kepada pelancong dan rakyat Melaka.

Dalam pada itu rakyat di negeri itu turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dalam situasi cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pelbagai bencana boleh terjadi termasuk kebakaran dan sebagainya.

"Sekarang ini memang isu perubahan iklim, tahun lepas berlaku bencana banjir pada hujung dan pertengahan tahun. Jadi menerusi amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan kita akan menghadapi mungkin cuasa panas dan kering serta ribut.

"Jadi semua yang ada di Melaka perlu cakna dengan informasi yang dimaklumkan ini untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Sekiranya mempunyai kesukaran atau berdepan situasi yang tidak terkawal boleh laporkan kepada pihak terlibat," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI