PUTRAJAYA, 23 Julai - Empat kementerian menerima pengiktirafan khas kerajaan atas kejayaan melaksanakan projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) berimpak tinggi bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan MADANI memerangi kerenah birokrasi.
Ia sekali gus menunjukkan negara berada di landasan tepat bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sehingga kini, 97 projek reformasi telah dilaksanakan bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dengan penjimatan kos pematuhan lebih RM873.5 juta setahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Empat kementerian yang diiktiraf ialah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang berjaya mempercepat kelulusan bantuan kepada petani dan penternak sehingga 50 peratus lebih pantas melalui pendigitalan proses permohonan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) pula memendekkan tempoh penilaian tender daripada 35 hari kepada 18 hari, menjimatkan lebih RM1.1 juta setahun.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mempercepat tempoh penilaian Skim Rukun Tetangga daripada 90 hari kepada hanya 30 hari.
Manakala Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memendekkan proses kelulusan kenderaan pelancongan di Sabah, Sarawak dan Labuan kepada hanya satu hari.
Mesyuarat STAR Bilangan 6 Tahun 2025 turut membincangkan langkah membanteras penyeludupan ternakan di sempadan serta cadangan penggubalan Akta Koperasi baharu.
Turut dibentangkan, perkembangan Akta ILTIZAM Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan, pembangunan Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA) dan hasil Mesyuarat Peringkat Tertinggi ARPA yang dipengerusikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Pelaksanaan STAR diselaraskan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri bersama Unit Pantau MADANI (PMU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan pendekatan whole-of-government agar reformasi dilaksana cekap, pantas dan sistematik.