fb fb fb fb fb

Empat buah rumah di DUN Anak Bukit rosak, dilanda ribut

Penduduk menunjukkan bumbung rumah yang diterbangkan akibat ribut

KUALA KEDAH, 21 Jun- Empat buah rumah di dua buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit, di sini rosak selepas dilanda ribut.
 
Kejadian berlaku pada pukul 4.45 petang itu menyebabkan bumbung rumah diterbangkan angin namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kejadian melibatkan tiga buah rumah di Kampung Teluk Binasa, Mukim Padang Hang dan sebuah rumah di Kampung Kubang Teduh.
 
Menurut penduduk, Abdul Majid Mat hujan lebat berserta angin kencang yang turun secara tiba-tiba menyebabkan sebahagian bumbung rumah yang diperbuat daripada atap zink dan sudah uzur, diterbangkan angin.
 
"Saya tiada di rumah ketika kejadian, saya di kedai. Anak di rumah telefon bagitahu bumbung rumah diterbangkan ribut.

"Masa balik ke rumah, air hujan dah masuk ke dalam. Kain baju basah, berselerak, peti ais, televisyen semua basah," katanya kepada pemberita di sini.

Bagi Sobri Zain, dia hanya menggunakan tikar plastik untuk mengelakkan air hujan masuk ke dalam rumah.

"Buat masa ini, belum buat baik pulih lagi, saya letak tikar plastik untuk sementara waktu bagi mengelakkan air hujan.

"...sebab kalau hujan boleh basah rumah. Saya letak satu lapis dahulu, sekarang pun musim hujan," katanya.

Sementara itu Pengerusi Komuniti MADANI DUN Anak Bukit, Datuk Abdul Muthalib Harun turut menghulurkan bantuan awal kepada penduduk terjejas.
 
Beliau berkata, pegawai dari pejabat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah membuat bancian berkaitan kerosakan.

"...dan saya akan membuat hubungan semula dengan pihak jabatan yang terlibat bagi menyegerakan bantuan kerana ada satu rumah yang diduduki warga emas terjejas teruk.

"Kita baru selesaikan bumbung kanvas ini sementara untuk mengelakkan kerosakan yang lebih teruk terhadap rumah yang terjejas ini," katanya.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI