PUTRAJAYA, 26 November- Semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta perlu memastikan pelajar tidak menjalankan sebarang aktiviti luar sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata langkah berjaga-jaga ini amat penting, terutamanya bagi IPT yang terletak di kawasan Pantai Timur.
"Kami juga menyarankan agar pelajar diberikan nasihat untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.
"Saya berharap tiada masalah timbul dalam kalangan mereka, memandangkan musim tengkujuh adalah waktu yang memerlukan semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga," katanya ketika ditemui media sewaktu meninjau persediaan Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di sini.
Dalam pada itu, Zambry berkata, Putrajaya FOI yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) mulai esok menyasarkan kehadiran seramai 250,000 pengunjung.
Beliau turut memaklumkan bahawa festival itu menawarkan 10,000 peluang pekerjaan di pelbagai peringkat, khususnya untuk golongan muda.
Putrajaya FOI, yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan PERKESO sebagai rakan strategik, akan menampilkan Karnival Kerjaya melalui platform MyFutureJobs sepanjang tiga hari, melibatkan 145 majikan daripada pelbagai industri.