SUNGAI SIPUT, 18 April - Cuaca panas dan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini dilaporkan tidak menjejaskan pengeluaran sayuran di Perak.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau aduan berhubung masalah tersebut.
Bagaimanapun katanya, pihaknya sentiasa menjalin kerjasama dan libat urus bersama-sama agensi berkaitan termasuk Jabatan Pertanian Negeri bagi memastikan petani tidak terkesan dengan fenomena tersebut.
"Kita telah kemukakan cadangan kepada kementerian berkaitan cadangan untuk memberi bantuan subsidi bantuan ganti pendapatan hilang pendapatan sebagainya disebabkan oleh El Nino akibat banjir, bencana alam dan sebagainya," kata Zolkafly kepada pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka anjurannya di Pusat Konvensyen Sungai Siput, Perak.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan fenomena El Nino ketika ini semakin lemah dan dijangka bertukar kepada fasa neutral sekitar Mei atau Jun.
Fasa La Nina dijangka bermula sekitar Ogos dan September depan.