fb fb fb fb fb

El Nino: Beberapa kawasan di Langkawi hadapi gangguan bekalan air

FOTO SADA

LANGKAWI, 31 Januari- Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) menyenaraikan beberapa kawasan sekitar pulau ini berdepan gangguan bekalan air akibat fenomena El Nino.

Kawasan yang terjejas adalah Pekan Kuah, Kisap, Kilim, Perana, Bayas, Ulu Melaka, Temoyong, Pantai Cenang, Pantai Tengah dan kawasan sekitar.
 
Dalam kenyataan hari ini, SADA berkata musim kemarau panjang dan kering atau fenomena El Nino sedang melanda negara, khususnya di utara Semenanjung.

"Paras air Sungai Melaka di Pulau Langkawi semakin menyusut dan secara tidak langsung memberi kesukaran kepada SADA untuk memenuhi permintaan air terawat.

"Permintaan bekalan air terawat oleh pengguna semakin meningkat, khususnya menjelang cuti perayaan sambutan Tahun Baharu Cina dan persekolahan tidak lama lagi," menurut kenyataan itu.

Ketika ini, produksi pengeluaran semua Loji Rawatan Air (LRA) SADA di Pulau Langkawi menunjukkan trend penurunan dan dijangka akan terus berlarutan sehingga paras Sungai Melaka kembali normal.
 
Pertambahan lokasi kebocoran paip dasar laut yang menyalurkan bekalan air terawat ke Pulau Langkawi dari LRA Sungai Baru turut memberi kesan kepada pengagihan air terawat kepada pengguna.
 
Sehubungan itu, SADA menasihatkan pengguna di Pulau Langkawi lebih berhemah ketika menggunakan air untuk aktiviti harian sepanjang musim kemarau ini yang dijangka berlanjutan bagi menjamin bekalan air tidak terganggu

Sebarang aduan atau pertanyaan, pengguna boleh menghubungi talian hotline di1300 88 0017 dan Bilik Gerakan Langkawi di 04-9610546.

Maklumat gangguan bekalan air turut dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok SADA serta laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my.

ZEHRA BINTI ZAMBRI