fb fb fb fb fb

Eksport minyak sawit meningkat RM12.5 bilion

Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2024

BANGI, 16 Disember- Eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia meningkat RM12.5 bilion kepada RM99.3 bilion setakat November tahun ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, India kekal pasaran terbesar bagi minyak sawit Malaysia dengan 2.9 juta tan (18.5 peratus), diikuti China (1.3 juta tan), Kesatuan Eropah (EU) (1.2 juta tan), Kenya (1.1 juta tan), Turkiye (832,000 tan), Filipina (611,000 tan) dan Jepun (553,000 tan).

"Alhamdulilah setakat hari ini, kelapa sawit negara merupakan penyumbang ketiga dari segi nilai eksport dalam negara selepas sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak dan gas.

"Jadi angka ini konsisten setiap tahun iaitu lebih daripada RM100 billion. 2024 ini saya jangkakan lebih daripada apa yang berlaku pada tahun 2023," katanya.

Beliau berkata dalam sidang media pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2024 di sini.

Pada masa sama beliau juga berharap agar Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) beri penekanan terhadap tkemampanan industri kelapa sawit negara, nilai nutrisi dalam kelapa sawit dan kelebihan kelapa sawit.

"Pertama soal kemampanan tanaman sawit kita, termasuklah termasuk penggunaan aplikasi atau perkara melibatkan ekonomi sekular. Mana-mana ruang yang kita ada, boleh dimanfaatkan untuk menjana ekonomi baru.

"Seterusnya mengenai kebaikan kelapa sawit ini, kita kena buat penyelidikan dan bekerjasama dengan mana-mana institusi untuk kita mengemukakan penyelidikan ini supaya kita boleh melawan propaganda terhadap kelapa sawit," katanya lagi.

Selain itu hasil penyelidikan berkaitan manfaat daripada kelapa sawit juga perlu diberi perhatian, ia sebagai benteng dalam memberi pemahaman terperinci kepada negara luar.

"Ini semua kita kena beri tumpuan termasuk penyelidikan sebagai mekanisme pertahanan untuk memastikan negara-negara luar mendapat maklumat tepat dan benar mengenai kelapa sawit," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI