fb fb fb fb fb

EKSKLUSIF: Dua tahun terpisah, anak bekas ahli GISBH rayu ibu pulang

Shuib berkesempatan bercuti bersama dan menghantar ibunya ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur sekitar Mei 2022

KUALA LUMPUR, 29 September - Setiap detik bersama ibu, adalah anugerah. Ikatan itu tidak terputus, meskipun jarak memisahkan.

Namun tiada yang lebih perit daripada menanggung rindu terhadap darah daging sendiri, yang dahulunya begitu dekat kini tidak diketahui keberadaannya.

Mohamad Shuib, 36, sering menanti kepulangan ibunya yang kini dipercayai berada di luar negara sejak dua tahun lalu selepas didakwa menunaikan umrah bersama ahli kumpulan GISB Holdings (GISBH).

Sejak itu, Shuib tidak pernah bertemu dengan ibunya selepas menghantar wanita itu ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur sekitar Mei 2022.

“Apabila pihak GISBH cakap nak bawa ibu saya pergi umrah saya mula rasa tak sedap hati. Tapi saya cuba bersangka baik – mungkin selepas menunaikan umrah ibu akan balik.

“Tapi saya pelik, sekejap ibu saya kat Turkiye, kemudian ibu kat Mesir,” katanya ketika ditemui wartawan RTM baru-baru ini.

Pada Oktober 2020, Arab Saudi membenarkan semula ibadah umrah dalam kalangan rakyat tempatan selepas tujuh bulan digantung ekoran pandemik COVID-19.

Umat Islam luar negara pula dibenarkan menunaikan umrah pada Ogos tahun 2021, dengan syarat dan protokol kesihatan yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19.

Menurut Shuib, ibunya pernah memberitahu dia tidak pulang ke Malaysia kerana ingin mempelajari bahasa Arab di sana.

Bagaimanapun Shuib dimaklumkan oleh mak ciknya bahawa wanita itu bekerja sebagai penjaga asrama di Mesir.

“Ini dah lain dah ni, sekejap kata mak saya pergi belajar bahasa Arab dan tidak bekerja – tapi saya menerima dua maklumat berbeza mengatakan ibu saya menjaga asrama.

“…Dan pelajar Malaysia di Kaherah pernah menghubungi saya – nampak ibu bertugas di sebuah restoran milik GISBH di sana,” katanya.

(Gambar kiri) - Shuib membantu ibunya di kilang roti dan (gambar kanan) tangkap layar perbualan mesej di Facebook bersama salah seorang pelajar di Mesir(Gambar kiri) - Shuib membantu ibunya di kilang roti dan (gambar kanan) tangkap layar perbualan mesej di Facebook bersama salah seorang pelajar di Mesir

Shuib yang kini buntu kerana tidak dapat menghubungi 'syurganya' merayu kepada Kementerian luar untuk mengesan wanita itu yang dipercayai berada di luar negara.

Ketika ditanya adakah ibunya pernah cuba mahu pulang ke Malaysia, ini jawapan Shuib.

“Ibu tidak ada minta bantuan untuk dibawa balik. Sebab kebiasaannya kalau nak balik kena minta izin orang atasan GISBH.

“Walau (status) anak sekali pun kena tunggu kebenaran daripada pihak atasan untuk membenarkan mereka pulang.

“Cukuplah tu, mereka lepaskan je lah ibu saya. Bagi saya jaga ibu, saya sayang ibu saya.

“Saya adalah anak lelaki paling tua — adalah menjadi tanggungjawab untuk jaga ibu saya, syurga saya di bawah telapak kaki ibu,” katanya sayu sambil menahan rasa sebak.

 

Ibu Shuib berdiri tiga dari kanan ketika membuat lawatan ke Masjid Grand Çamlıca di Turkiye bersama sekumpulan wanita dari MalaysiaIbu Shuib berdiri tiga dari kanan ketika membuat lawatan ke Masjid Grand Çamlıca di Turkiye bersama sekumpulan wanita dari Malaysia

 

IBU SAKIT TAPI DIHALANG DAPATKAN RAWATAN

Mengimbau peristiwa kira- kita dua tahun lalu, ketika virus COVID-19 melanda dunia, ibunya pernah jatuh sakit selama berminggu-minggu.

Hasrat anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu membawa ibunya mendapatkan rawatan kesihatan disalah erti.

Sebaliknya dia dituduh menceroboh premis milik GISBH ketika menjemput ibunya di Kodiang, Kedah pada Januari 2022.

“Sebelum ini, ibu saya bekerja di kedai kilang roti Ikhwan di Kodiang, selama 12 tahun. Dia merupakan pengurus besar di kedai itu.

"Ketika nak bawa ibu saya ke klinik, saya dihalang oleh beberapa anggota yang dipercayai Remaja Pembela Ummah (RPU).

"(Kemudian) ibu saya di bawa ke balai polis dan disuruh buat 'cover report' atas alasan tidak mahu mengikuti saya balik ke Kuala Lumpur bimbang keselamatan dirinya," katanya.

Shuib menunjukkan beberapa video rakaman perbualan dengan salah seorang anak pemimpin tertinggi GISBH yang meminta kebenaran untuk membawa ibunya ke hospital.

Oleh itu, Shuib membuat dua laporan polis pada 20 Januari dan 27 Januari 2022 berhubung insiden dia dihalang membawa ibunya ke hospital berdekatan dan ibunya dibawa lari oleh dua lelaki menggunakan kereta berwarna kelabu.

 

(Gambar kiri) - Shuib meminta kebenaran kepada salah seorang anak pemimpin tertinggi GISBH. (Gambar kanan) ibunya buat repot polis di balai polis Jitra, Kedah yang enggan mengikut anaknya pulang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan pada Januari 2022.(Gambar kiri) - Shuib meminta kebenaran kepada salah seorang anak pemimpin tertinggi GISBH. (Gambar kanan) ibunya buat repot polis di balai polis Jitra, Kedah yang enggan mengikut anaknya pulang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan pada Januari 2022.

 

HERET PELAKU KE MUKA PENGADILAN

Shuib juga berharap agar tindakan undang-undang dikenakan kepada mereka yang terlibat dan didapati bersalah dalam kes yang berlangsung ketika ini.

Bukanlah niatnya untuk menghukum secara membuta tuli, namun dia percaya bahawa tindakan tegas perlu diambil bagi menyedarkan mereka yang tersesat.

“Ini bukan soal saya seorang sahaja, tapi bagi membantu semua keluarga yang telah terpisah, antara anak dengan emak ayah, suami dan isteri.

“Kalau boleh kes seperti ini ditangani dengan serius lah. Mana-mana yang terlibat dengan jenayah seperti yang didakwa, bawa mereka ke mahkamah.

“Kalau didapati bersalah hukum dengan semaksimum mungkin, kerana jenayah tentang agama ni kita tidak boleh biarkan sebab saya melihat banyak kerosakan melibatkan akidah,” katanya yang keluar daripada GISBH pada tahun 2013.

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN