Ekosistem penjagaan mampan diperluas hadapi Malaysia negara menua

Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR, 5 Februari- Ekosistem industri penjagaan yang mampan perlu dibangunkan bagi menghadapi Malaysia sebagai negara menua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Membangunkan ekosistem penjagaan mampan untuk menghadapi Malaysia sebagai negara menua.
  • Memperluas penjagaan berasaskan rumah dan komuniti sebagai tumpuan utama.
  • Mengiktiraf pekerjaan penjaga sebagai profesion dan beri insentif latihan kepada penjaga keluarga.
  • Melaksanakan Kerangka Strategi dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Malaysia 2026-2030.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata inisiatif itu merupakan antara usaha reformasi kerajaan menjelang 2030.

“Ini bermaksud memperluaskan penjagaan berasaskan rumah dan komuniti, menjadikan pekerjaan penjaga sebagai satu profesion serta memberi sokongan kepada penjaga keluarga terutamanya wanita, melalui pemberian insentif latihan dan perkongsian tanggungjawab merentasi kerajaan,” katanya pada Sesi Dialog Persediaan Negara Menua sempena Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di sini, hari ini.

Selain kerjasama KPWKM dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pembangunan Penjagaan Jangka Panjang, Datuk Seri Nancy berkata Kerangka Strategi dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Malaysia 2026-2030 telah dilancarkan pada November 2025.

“Ini bagi memastikan ekosistem penjagaan yang mampan dan inklusif demi kesejahteraan rakyat untuk setiap peringkat umur.

“Kerangka ini selari dengan Rancangan Malaysia ke-13 dan Pelan Tindakan Kebangsaan yang menggariskan ekosistem penjagaan jangka panjang serta memperbaiki kesejahteraan melalui perundangan dan perkhidmatan sokongan,” tambah beliau.

Beliau menegaskan peralihan ke arah negara menua dijangka memberi kesan terhadap sistem kesihatan, kemampanan ekonomi dan perlindungan sosial, namun rakyat Malaysia dilihat aktif mengamalkan gaya hidup sihat pada masa ini.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan