KUALA LUMPUR, 21 Disember- Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan telah menerima aduan berhubung dua kejadian berasingan melibatkan kes kematian kucing yang berlaku di Universiti Malaya (UM).
DVS menerusi satu kenyataan mmaklumkan, aduan pertama diterima pada 17 Disember lalu berhubung kematian kucing yang berlaku di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi.
Malah siasatan turut dilakukan pada hari yang sama bagi mendapatkan maklumat lanjut namun hasil pemeriksaan menunjukkan bangkai sudah terurai dan tidak boleh dilakukan bedah siasat bagi mengesahkan kejadian sebenar.
Untuk kejadian kedua, DVS telah menerima aduan semalam yang melibatkan kematian empat ekor kucing di lokasi berbeza iaitu di Perpustakaan UM, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi dan Pusat Asasi Sains UM berdekatan Pusat Mikrobiologi dan Genetik Molekul dan Ambang Asuhan Jepun.
Pasukan Unit Kebajikan Haiwan DVS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah turun menjalankan siasatan pada hari yang sama tetapi tidak menjumpai sebarang bukti berkaitan kematian kucing yang dilaporkan.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, bangkai kucing dikatakan telah dihantar ke klinik veterinar yang tidak dikenal pasti oleh wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM).
Selain itu, pasukan penyiasat juga gagal mendapatkan maklumat daripada wakil KMUM pada hari tersebut.
DVS memandang serius terhadap kejadian itu dan mana-mana pihak disarankan supaya membuat aduan secara rasmi sekiranya terdapat kes kezaliman haiwan seumpamanya kepada pihak berkuasa veterinar.