fb fb fb fb fb

DVS pelbagaikan penyelidikan dan kajian, pastikan sekuriti makanan negara terjamin

SERDANG, 4 Jun - Makanan dari produk haiwan memberi cabaran pengurusan yang berbeza dan memerlukan kompetensi bagi menangani aspek keselamatan makanan.

Mengambil peranan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negara mempelbagaikan penyelidikan dan kajian bagi meningkatkan produktiviti bekalan.

Pemantauan berterusan rantaian bekalan makanan termasuk ayam dan telur terus dilakukan selain keselamatan makanan berasaskan ternakan itu dipastikan terjamin sebagai persediaan jika isu sekuriti makanan timbul.

DVS komited untuk melaksanakan kajian dan penyelidikan supaya produktiviti ayam yang ketika ini menjadi isu hangat, akan dipertingkatkan.

Selain itu, pelbagai siri kerjasama bersama agensi-agensi lain, akan turut dilaksanakan oleh DVS bagi memastikan produktiviti ayam semakin meningkat dan terjamin terutamanya daripada aspek sekuriti makanan negara.

Jelas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, selain kajian dan penyelidikan, semua aspek membabitkan bekalan dan pengeluaran ternakan termasuk ayam dipantau.


(Foto hiasan)

"Dalam konteks pengeluaran ayam sebenarnya, mengikut statistik kita, sebenarnya telah melepasi tahap SSL 100%, tapi dalam keadaan tertentu, memang kita sedar, ada perkara-perkara yang boleh menyebabkan penurunan dalam pengeluaran, ini yang berlaku sekarang ini.

"Tapi kita dalam Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), kerajaan memberikan komitmen untuk kita berusaha mengatasi masalah yang kita hadapi sekarang ini untuk meningkatkan pengeluaran ayam dan telur dalam negara, tapi Insya-Allah, perkara ini akan selesai dalam tempoh yang terdekat," kata beliau.

DVS terus memastikan isu bekalan makanan tidak berulang dan kejadian seperti penyakit haiwan ternakan dalam negara terkawal.

Malah, DVS turut memantau rapi pengeluaran daging lembu, kerbau dan kambing termasuk yang dimport dari luar negara selamat dimakan dan mencukupi bagi menampung pasaran dalam negara.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan kerjasama DVS akan sentiasa memastikan kelangsungan sekuriti makanan negara terjamin serta memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan yang optimum.

Laporan Mohan Chinnasamy, Berita RTM.

Media Baharu