KOTA KINABALU, 30 Ogos- Dua rentung selepas kereta dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata identiti mangsa belum dikenal pasti.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.30 pagi dan pihaknya sampai ke tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian.
“Bomba boleh mengeluarkan mangsa yang rentung itu hanya selepas kebakaran kereta itu dapat dipadamkan. Dua lagi mangsa yang masing-masing memandu dua kenderaan lain dalam kejadian itu hanya cedera ringan.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan dan siasatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Katanya, operasi ditamatkan 4.40 pagi.- BERNAMA