IPOH, 13 Mei- Dua petugas kesihatan mengalami kecederaan di bahagian muka setelah kenderaan yang dinaiki terbabas di bahu jalan di kilometer 263.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada pukul 8.23 pagi.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru digerakkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian, kemalangan membabitkan dua petugas lelaki yang menaiki sebuah pacuan empat roda milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," kata Sabarodzi Nor Ahmad.
Pemandu Mohd Afendi Mohd Bakri, 49 tahun dan penumpang Mohd Noh Zulkifli, 43 tahun diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital berhampiran menaiki jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
Operasi tamat pada pukul 9.00 pagi tadi.