BINTULU, 3 Ogos- Dua pekerja kapal maut dalam insiden letupan bilik enjin sebuah kapal di perairan Samalaju awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali, berkata dua mangsa maut yang belum diketahui identiti adalah kelasi kapal dari Sibu berusia 25 tahun dan rakannya pembantu jurutera berusia 36 tahun, dari Perak.
"Seorang lagi mangsa juga lelaki tempatan berusia 22 tahun dari Sabah dilaporkan cedera parah pada muka dan tangan.
"Ketika kejadian 16 kru berada dalam kapal Supply Amara dan polis menerima maklumat kejadian pada jam 2 pagi tadi," katanya dalam kenyataan.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, pada jam 10.40 malam Jumaat, semua kru kapal berkenaan yang merupakan pekerja syarikat minyak dan gas, dikejutkan dengan satu bunyi letupan yang kuat pada bahagian bawah kapal dan mendapati bilik enjin terbabit mengeluarkan asap tebal dengan pintu utama tercabut akibat letupan tersebut.
Ujar Nixon lagi, setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu, justeru dikategorikan sebagai kes kematian mengejut.
Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Rumah Mayat Hospital Bintulu untuk bedah siasat, manakala mangsa yang parah dirawat di hospital sama.