fb fb fb fb fb

Dua lelaki warga Thailand ditemukan rentung dalam kebakaran

Foto JBPM Johor

PONTIAN, 27 Ogos - Dua lelaki warga Thailand ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan dua lot kediaman di Batu 36, Jalan Pontian, Johor, kira-kira 11.00 pagi tadi.

Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi mangsa parah melecur, manakala tiga yang lain dilaporkan cedera ringan dalam kejadian berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan Satu, Mohd Nazri Ahmad Shahidon dalam satu kenyataan memaklumkan, dua mangsa yang maut, dikenal pasti sebagai Masabuding, 37 tahun, dan Nasri, 31 tahun. 

"Mayat ditemukan di bawah runtuhan bangunan, sejurus api berjaya dipadamkan. 

"Empat mangsa lain berjaya diselamatkan, dengan salah seorang daripadanya melecur sehingga 40 peratus," menurut kenyataan itu.

Kesemua mereka berusia lingkungan 40-an, manakala identiti lanjut masih belum dikenal pasti.

Kebakaran turut memusnahkan hampir 80 peratus struktur kedua-dua rumah terlibat dan nilai kerugian serta punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI