fb fb fb fb fb

Dua lagi unit ATM ditambah, untuk kegunaan para Dhuyufurrahman - TH

Datuk Seri Syed Saleh menunjukkan wang hasil pengeluaran di ATM melalui kad debit TH kepada media, sempena kerjasama dengan Bank Alinma di Arab Saudi

MEKAH, 6 Jun- Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama pengurusan Bank Alinma menambah dua lagi unit mesin juruwang automatik (ATM) di bangunan penginapan jemaah haji Malaysia bagi memudahkan urusan pengeluaran wang para Dhuyufurrahman.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kemudahan itu penting selepas pihak TH menamatkan perkhidmatan kaunter pengeluaran wang di bangunan penginapan pada 2022.

"Dengan itu, kita telah bekerjasama dengan Bank Islam untuk menyediakan kad debit Tabung Haji Bank Islam. Kad debit ini ada kelebihannya kerana apabila digunakan di tanah suci, semasa musim haji pengeluaran setiap transaksi ini tidak dikenakan sebarang caj."

"Ia secara percuma dan ditanggung Tabung Haji dan Bank Islam, kerana kalau kita menggunakan kad debit yang lain ia akan ada caj bagi setiap transaksi," kata Datuk Seri Syed Saleh kepada pemberita, hari ini.

Beliau turut mengingatkan jemaah untuk sentiasa menjaga keselamatan dengan tidak membawa wang dalam jumlah yang banyak bagi mengelak keciciran atau kecurian. 

Kemudahan mesin ATM sebelum ini hanya disediakan di Hotel Abraj Al Janadriyah di Zon A yang juga merupakan bangunan Ibu Pejabat TH di Mekah.

Kemudian, ia diperluas ke Hotel Land Premium di Zon D dan Rehab Al-Janadriyah di Zon C manakala bagi jemaah di Zon B boleh menggunakan perkhidmatan mesin ATM di menara jam dan kawasan sekitarnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM