KUALA LUMPUR, 23 Mei 2025 – Dua dokumen penting dijangka dimuktamadkan pada Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan ASEAN (SOM) – Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Dua dokumen itu ialah dokumen hasil Sidang Kemuncak dan Deklarasi Ekonomi ASEAN-GCC.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Rendah Hal Ehwal Dua Hala ASEAN, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, Ma Theressa P. Lazaro yang turut menghadiri mesyuarat tersebut.
“Kami berbincang mengenai dua bidang kerjasama utama, dan dua dokumen penting dijangka dikeluarkan daripada mesyuarat ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Persediaan SOM ASEAN-GCC serta Mesyuarat Persediaan ASEAN-GCC-China di sini, hari ini.
Jelasnya, dokumen berkenaan merangkumi hasil Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua serta Deklarasi Ekonomi yang kini sedang disediakan oleh Menteri-Menteri Ekonomi kedua-dua blok serantau.
”Dokumen tersebut merangkumi Dokumen Hasil untuk Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua serta Deklarasi Ekonomi yang kini dalam penyediaan oleh Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan GCC"
Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat persediaan ASEAN-GCC-China, beliau memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Malaysia dan turut dihadiri wakil-wakil GCC, dengan intipati serta format perbincangan yang hampir serupa.
Lazaro turut menyatakan harapan terhadap sidang kemuncak kali ini, yang menurutnya mencerminkan peningkatan kerjasama ketara berbanding penganjuran terdahulu.
“Dokumen hasil Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang pertama hanya sepanjang tujuh muka surat, tetapi kali ini sudah mencecah 20 muka surat.
"Ini menunjukkan adanya pertambahan bidang kerjasama dan usaha bersama yang signifikan,” katanya.
Beliau turut berkata, kandungan draf dokumen tersebut kini masih dalam proses perundingan teliti, dengan setiap frasa dan pernyataan sedang disemak secara rapi oleh negara-negara yang terlibat.