fb fb fb fb fb

Dua beranak ditemukan rentung di Butterworth

FOTO JBPM Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 10 Disember - Dua beranak melibatkan ibu bersama anak angkatnya ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran rumah teres berkembar di Taman Rathna di sini pada Rabu.

Manakala, seorang lagi cedera selepas dihempap bumbung di ruangan dapur.

Kejadian telah mengakibatkan anggaran peratusan kemusnahan keseluruhan struktur, 85 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 9.41 pagi sebelum tiba di lokasi 25 minit kemudian.

"Mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan pihak bomba pada pukul 10.21 pagi serta dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Manakala, mangsa rentung merupakan ibu yang berusia 50-an dan anak angkatnya ditemukan di bahagian ruang tamu pada pukul 10.59 pagi.

"Mayat mangsa rentung dibawa ke Hospital Kepala Batas bagi tujuan bedah siasat. Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada pukul 10.15 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.21 pagi.

"Operasi melibatkan 20 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dibantu BBP Bandar Perda, Penanti dan Kepala Batas. Operasi ditamatkan pukul 3.30 petang," menurut kenyataan itu.

Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM