LANGKAWI, 14 Februari - Dua beradik warga Myanmar maut dipercayai selepas makan sisa makanan dalam tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Nizambudin, 4, dan adiknya, Ngei Jamaludin, 2, dilaporkan meninggal dunia pada 5.40 petang.
Katanya, polis menerima maklumat kejadian itu pada 6.15 petang.
"Siasatan awal mendapati, bapa mangsa yang berumur 36 tahun ternampak dua anaknya berada berhampiran tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum mengangkat kedua-dua mangsa ke rumah jiran berhampiran.
"Bapa mangsa mendapati mulut kedua-dua anaknya berbuih dan selang beberapa minit kemudian anaknya sudah tidak bernafas," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
FOTO IHSAN PDRM
Shariman berkata ketika kejadian bapa mangsa keluar bekerja dengan mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja kampung.
"Mereka tidak mempunyai rumah dan hanya menumpang di rumah jiran di kampung tersebut," katanya.
Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.