fb fb fb fb fb

Dua beradik maut selepas dirempuh kereta

Foto RTM

YAN, 16 JUN- Dua beradik berusia 22 dan 11 tahun maut selepas motorsikal yang dinaiki dirempuh sebuah kereta.

Kemalangan berlaku di Jalan Teroi Titi Lahar, Yan, kira-kira pukul 8.30 malam tadi (Sabtu).

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Shahnaz Akhtar Haji berkata ketika kejadian, mangsa, Muhammad Zulqarnain Mohd Delmi, 22 tahun bersama adiknya, Ahmad Firashi Ilyas Mohd Delmi, 11 tahun sedang menaiki sebuah motorsikal dalam perjalanan dari arah Yan menghala ke Gurun.

Manakala sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 61 tahun dari arah bertentangan iaitu Gurun menghala ke Yan.

Ketika tiba di tempat kejadian, pemandu kereta hendak memotong kenderaan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motorsikal dinaiki kedua-dua mangsa.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang dan pembonceng motorsikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian anggota badan dan kepala", katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Charok Tala, Mukim Jeneri, Sik dihantar ke Hospital Yan untuk tujuan bedah siasat.

Manakala pemandu kereta mengalami sakit di bahagian dada.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD