JOHOR BAHRU, 21 April- Dua beradik maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Sohaimi Ishak, berkata mangsa merupakan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan kakaknya berumur 20 tahun.
Kemalangan berlaku sekitar 9.50 malam apabila motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa membelok ke kanan ketika lampu isyarat masih merah.
Pada masa sama, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 40 tahun yang sedang bergerak terus ketika lampu isyarat hijau, merempuh motosikal berkenaan.
Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.