(FOTO BERNAMA)
IPOH, 11 Januari- Dua beradik ditahan ketika sedang leka memasak dan memproses dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampar, Isnin lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata suspek berusia 44 dan 45 tahun itu ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM665,000.
Siasatan mendapati, rumah tersebut dijadikan makmal memproses dadah sejak Disember lepas untuk kegunaan pasaran tempatan.
"Ujian saringan air kencing dijalankan dan kedua-duanya didapati positif dadah jenis morphine.
"Semakan rekod jenayah juga telah dijalankan dan mereka didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Turut dirampas, peralatan memproses dadah serta sebuah kereta yang menggunakan pelekat orang kenamaan bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti tersebut.
Kedua-dua suspek tidak bekerja dan direman sehingga 16 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
(FOTO BERNAMA)