Dron bantu kesan lokasi persembunyian PATI

220 PATI berjaya ditahan JIM atas pelbagai kesalahan dalam satu serbuan di kawasan pusat perniagaan serta kawasan kediaman di ibu negara.

KUALA LUMPUR, 30 Januari – 220 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas pelbagai kesalahan dalam satu serbuan di kawasan pusat perniagaan serta kawasan kediaman yang dimonopoli kumpulan itu di Taman Emas, Cheras, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 220 PATI ditahan dalam Ops Sapu Bersepadu di Taman Emas, Cheras, selepas pemeriksaan ke atas 1,087 individu.
  • Dron digunakan waktu malam untuk memantau titik buta dan kawasan gelap bagi membantu rondaan darat.
  • Dron mengesan lebih 15 warga asing yang bersembunyi di atas bumbung bagi mengelak penahanan.
  • Tahanan berumur 2 hingga 53 tahun ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

Ops Sapu Bersepadu yang bermula pada pukul 6.00 petang semalam melibatkan pemeriksaan ke atas 1,087 PATI.

Penggunaan dron turut digunakan untuk melancarkan operasi, sekali gus memudahkan pihak berkuasa memantau kawasan titik buta yang sukar dilihat melalui rondaan darat biasa, terutamanya dalam kawasan gelap.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, penggunaan teknologi dron terbukti berkesan apabila berjaya mengesan lebih 15 warga asing yang bersembunyi di atas bumbung bangunan bagi mengelak daripada ditahan.

“Malam ini kita juga menggunakan teknologi dron dalam peroperasian kita pada waktu malam. Dan hasil daripada penggunaan teknologi ini, kita dapat mengesan ada warga asing yang bersembunyi di atas bumbung.

“Kita berjaya mengesan lebih daripada 15 orang. Jadi selepas ini dron akan terus digunakan ntuk membantu peroperasian kita,” katanya dalam sidang media.

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf, serta lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Tahanan yang terdiri daripada 166 lelaki dan 52 perempuan itu berasal dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Myanmar dan Bangladesh.

Mereka yang berumur antara dua hingga 53 tahun itu kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.