fb fb fb fb fb

Draf RUU Perkhidmatan Parlimen siap untuk dibentang di Parlimen

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 13 Mac - Draf Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen telah disiapkan dan hanya menunggu masa untuk dibentangkan di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sejak diusul untuk diperkenal semula, pelbagai sesi libat urus telah dilaksana melibatkan pelbagai pihak.

"Bagi merealisasikan usaha reformasi ini, beberapa sesi libat urus berkesan telah diadakan pada 2023 dan 2024 termasuk semua pihak, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memuktamadkan ketetapan dasar berkenaan," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen, Raub, Chow Yu Hui di Dewan Rakyat, di sini.

Tambah Azalina, langkah reformasi itu selaras matlamat kerajaan ke arah memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dan eksekutif sekali gus, memperkasa semangat perlembagaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN