ALOR SETAR, 9 Disember - Dewan Perniagaan Bumiputera Siam (DPSM) menyambut baik langkah pembayaran balik cukai segera yang tertunggak dan tindakan menaikkan nilai ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta bermula 2026.
Presidennya DPSM Datuk Seri Boon Som Inong berkata, langkah kerajaan itu sekurang-kurang dapat menampung kos operasi syarikat.
"Pengumuman ini satu berita baik yang benar-benar melegakan rakyat, termasuk peniaga kecil. Ini menunjukkan suara rakyat akhirnya didengari kerajaan. Saya tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa kerajaan tidak sepatutnya berhutang dengan rakyat, sebaliknya perlu membantu mereka.
"Maknanya, apa yang diperlukan rakyat ketika ini telah didengari kerajaan. Sebagai peniaga, saya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri semalam," katanya ketika ditemui RTM di sini.
Langkah kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta bermula tahun depan dilihat tanda keprihatinan kerajaan memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terlibat tidak terbeban.
"Ini satu tindakan yang sangat baik untuk peniaga kecil. Dengan had pelaksanaan e-Invois dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta, ia tidak lagi membebankan peniaga kecil.
"Sebelum ini, kami terpaksa mengambil pekerja tambahan semata-mata untuk menguruskan e-Invois, sedangkan pendapatan pun tidak seberapa. Jadi keputusan ini benar-benar melegakan.
"Pada pandangan saya dan rakan-rakan peniaga kecil, ini satu proses yang baik dan menunjukkan kerajaan sedang memperbaiki reformasi perniagaan. Dari sini kita dapat lihat bahawa kerajaan mendengar suara rakyat," katanya lagi.
Dalam pada itu Datuk Seri Boon Som Inong turut merayu agar mempercepatkan pembayaran subsidi kepada pengilang pembungkusan minyak masak paket bersubsidi bagi membantu menstabilkan ekonomi dan bekalan minyak masak paket bersubsidi lebih lancar.
PKS memerlukan modal tunai dan dibebani dengan hutang kerana terpaksa mendahulukan kos berikutan pembayaran yang dibuat kepada pengilang sebelum ini mengambil tempoh masa empat bulan.