fb fb fb fb fb

'Doakan keselamatan bomba, penduduk di Putra Heights' - Ahli Parlimen Subang

FOTO FACEBOOK Wong Chen

SUBANG JAYA, 1 April- Ahli Parlimen Subang Wong Chen mendoakan keselamatan anggota bomba dan penyelamat yang kini sedang bertungkus-lumus mengawal kebakaran berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights sejak kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

"Doa dan harapan kami bersama mereka yang terjejas, serta pasukan bomba yang berani dalam menghadapi situasi ini," katanya menerusi Facebook beliau.

Dalam hantaran itu, Wong Chen memaklumkan kebakaran itu dipercayai berpunca daripada letupan saluran paip gas, bukan dari stesen minyak seperti dilaporkan sebelum ini.

"Jika benar kebakaran ini berpunca daripada saluran paip gas, pengendali saluran paip perlu segera menutup bekalan gas untuk mengawal keadaan," katanya.

Wong Chen juga menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan mengelakkan kawasan kejadian sehingga keadaan disahkan selamat oleh pihak berkuasa.

"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada. Helikopter bomba juga sedang dalam perjalanan ke lokasi kebakaran," katanya lagi.

Tambahnya, lokasi insiden terletak di luar kawasan Parlimen Subang namun berdekatan dengan kawasan tersebut.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, setakat pukul 10.00 pagi, pihaknya berjaya menyelamatkan tujuh orang mangsa.

"Api telah merebak ke beberapa buah rumah di sekitar kawasan kebakaran dan bomba berjaya mengeluarkan tujuh mangsa termasuk dua warga emas," lapor Komander Operasi, PBK I KUP Mohamad Fadhil Buari dalam kenyataan sama.

Sepasukan anggota dan pegawai bomba ketika ini masih berusaha mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kediaman penduduk sekitar.

"Pihak Petronas telah menutup injap saluran paip yang terbakar, namun jarak tepat lokasi penutupan injap masih belum dapat dipastikan," menurut kenyataan JBPM Selangor.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA