Diskaun tol 50 peratus ringan kos perjalanan rakyat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus bersempena Hari Raya Aidilfitri 2026 diharap mampu membawa kegembiraan kepada para perantau yang pulang ke kampung halaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memperuntukkan RM21.03 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
  • Pelaksanaan diskaun: 12.01 tengah malam 18 Mac hingga 11.59 malam 19 Mac 2026 untuk Kelas 1, kecuali BSI dan LINKEDUA.
  • Semua kerja penyenggaraan lebuh raya dihentikan 18 hingga 30 Mac bagi memastikan kelancaran trafik.
  • Pengguna disaran merancang perjalanan awal, patuhi had laju, rujuk Lembaga Lebuhraya Malaysia dan guna aplikasi navigasi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya bagi mereka yang menempuh perjalanan jauh.

Menurut beliau, pelaksanaan diskaun tersebut melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM21.03 juta kepada kerajaan bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol.

“Pemberian diskaun tol ini diharap dapat membawa kegembiraan kepada para perantau dan dalam masa sama membantu meringankan kos perjalanan rakyat,” menurutnya dalam kenyataan di media sosial beliau.

Diskaun itu akan dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam, 18 Mac 2026 hingga 11.59 malam, 19 Mac 2026, melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan semua kerja penyenggaraan lebuh raya akan dihentikan sepanjang tempoh 18 hingga 30 Mac ini bagi memastikan kelancaran trafik serta mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya.

Langkah itu, penting bagi mengelakkan penutupan lorong selain memastikan perjalanan lebih selesa ketika musim perayaan.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan lebih awal, mematuhi had laju serta sentiasa peka terhadap maklumat trafik semasa.

Pengguna disaran merujuk saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi mendapatkan maklumat terkini, selain menggunakan aplikasi navigasi lebuh raya untuk merancang perjalanan dengan lebih efisien.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya mematuhi arahan papan tanda serta menggunakan lorong smartlane dengan berhemah demi keselamatan semua.