Diskaun 50 peratus sewa tapak penjaja bantu peniaga kecil

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 14 Mac -Pengurangan kadar sewa 50 peratus bagi tapak penjaja serta premis tertentu bawah seliaan kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan, bagi membantu meringankan kos operasi peniaga kecil

RINGKASAN BERITA AI
  • Berkuat kuasa 1 April 2026 hingga 31 Disember 2027.
  • Menjangka manfaat kepada lebih 10,000 tapak penjaja dan mengurangkan tekanan kos operasi peniaga kecil.
  • Potongan had pada kadar minimum RM50 sebulan; kadar sedia ada dikekalkan jika asal lebih rendah; penyewa mesti jelaskan tunggakan dahulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah itu akan berkuat kuasa mulai 1 April 2026 hingga 31 Disember 2027.

Katanya, ia sebagai inisiatif sementara membantu peniaga kecil di ibu negara menghadapi tekanan kos sara hidup.

“Inisiatif ini dijangka memberikan manfaat kepada lebih 10,000 tapak penjaja dan premis perniagaan kecil milik DBKL di Kuala Lumpur sekaligus membantu mengurangkan tekanan kos operasi yang dihadapi oleh penjaja dan perniaga mikro di bandar.

“Inisiatif ini menjadikan DBKL sebagai antara pihak berkuasa tempatan yang pertama di Malaysia yang melaksanakan pengurangan kadar sewa” katanya pada sidang media mengenai pengurangan kadar sewa tapak sebanyak 50 peratus bagi penjaja serta premis tertentu di bawah seliaan DBKL, di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, pengurangan kadar sewaan secara menyeluruh pada skala besar ini bagi membantu peniaga kecil dan rakyat bandar menghadapi tekanan kos sara hidup.

Pengurangan kadar sewaan itu dilaksanakan melalui potongan sebanyak 50 peratus dengan kadar minimum ditetapkan pada RM50 sebulan.

Ini bermakna walaupun potongan diberikan, kadar sewaan akhir tidak akan kurang daripada jumlah minimum tersebut.

“Sebagai penjelasan, jika kadar sewaan asal adalah RM160 selepas potongan 50%, kadar sewaan baru adalah RM80. Jika kadar sewa asal adalah RM80, potongan 50% secara matematik menjadikan kadar RM40. Namun, kadar sewa yang dikenakan tetap RM50 kerana tetap pada kadar minimum yang ditetapkan. Dan, sekiranya kadar sewa asal adalah RM30, maka kadar sewa dikekalkan pada kadar setiap ada iaitu RM30” jelasnya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa penyewa perlu terlebih dahulu menjelaskan sebarang tunggakan sebelum layak menikmati insentif pengurangan sewa tersebut memandangkan terdapat permintaan tinggi terhadap tapak penjaja dan premis perniagaan kecil milik DBKL.