fb fb fb fb fb

Diplomat Malaysia di luar negara digalakkan terbit artikel, penulisan ilmiah

(Datuk Seri Saifuddin Abdullah bercakap pada sidang media selepas melancarkan Monograf
berjudul Fokus Dalam Kesinambungan: Sebuah Rangka Kerja untuk polisi luar Malaysia 
di dalam dunia pasca pandemik, di Putrajaya)

PUTRAJAYA, 8 September - Diplomat Malaysia di luar negara digalakkan menerbitkan lebih banyak artikel dan penulisan ilmiah mengenai pengalaman mereka dalam berhadapan pelbagai isu dan konflik ketika berkhidmat di negara luar.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berpandangan, penulisan tersebut sangat berguna dan boleh menjadi panduan terutama dalam aspek pengurusan pandemik COVID-19 mahu pun bencana alam.

Perkongsian pengalaman tersebut juga boleh diguna pakai sebagai sumber rujukan dan modul latihan bagi diplomat-diplomat muda selain untuk kegunaan para penyelidik dan ahli akademik.

"Kita ada (diplomat Malaysia) 85 negara, bayangkan hampir semua negara ini berhadapan dengan COVID-19, kalau kita ada kumpulan rencana dari separuh sahaja dari 85 negara ini bayangkan maklumat yang kita dapati. Apa gunanya, gunanya adalah kita tak nak lagi berlaku apa-apa pandemik pada masa depan tapi ini boleh jadi panduan, negara sekian cara dia begini, negara lain cara dia berbeza dengan semua itu memberi suatu pengajaran kepada kita untuk bersiap untuk masa yang akan datang," kata beliau selepas melancarkan Monograf berjudul Fokus Dalam Kesinambungan: Sebuah Rangka Kerja untuk polisi luar Malaysia di dalam dunia pasca pandemik, di sini.


(Datuk Seri Saifuddin Abdullah melancarkan Monograf berjudul Fokus Dalam Kesinambungan:
Sebuah Rangka Kerja untuk polisi luar Malaysia di dalam dunia pasca pandemik, di Putrajaya)

Monograf itu mengupas fokus utama strategi negara untuk pulih dari pandemik COVID-19 dan bersedia untuk menyahut cabaran dunia baharu.

Penerbitan monograf berkenaan mengandungi enam penulisan berkaitan Kerangka Dasar Luar Negeri baharu yang disediakan para penyelidik dari institusi Diplomasi dan luar (IDFR) dan penganalisa di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Media Baharu