Diplomasi PM berkait konflik Asia Barat dipuji

Premier Sarawak bersama Perdana Menteri di Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026, di Kuching.

KUCHING, 13 Mac – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memuji pendekatan diplomasi Perdana Menteri, berkait konflik di Asia Barat yang disifatkan mampu memberi kesan besar kepada kestabilan politik dan ekonomi dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemimpin negara-negara Islam menghubungi Perdana Menteri untuk mendapatkan pandangan dan mencari jalan penyelesaian konflik di Asia Barat.
  • Keupayaan Perdana Menteri berperanan di peringkat antarabangsa disokong oleh kestabilan politik dan perpaduan rakyat Malaysia.
  • Ekonomi kukuh dan nilai mata wang meningkat menarik pelaburan asing; rakyat Sarawak menikmati manfaat dan lebih duta serta pelabur datang.

Menurut beliau, idea serta usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meredakan ketegangan di rantau berkenaan turut mendapat perhatian pemimpin negara-negara Islam yang menghubungi beliau untuk mendapatkan pandangan serta mencari jalan penyelesaian.

Tan Sri Abang Johari berkata, keupayaan Perdana Menteri memainkan peranan di peringkat antarabangsa itu juga didorong oleh kestabilan politik serta perpaduan rakyat di Malaysia.

“Negara kita sendiri bersatu padu. Kalau negara kita kucar-kacir, mungkin YAB Perdana Menteri terpaksa menumpukan kepada isu dalam negara dan tidak dapat membantu masyarakat di luar sana.

“Alhamdulillah negara kita aman, ekonomi juga baik, nilai mata wang meningkat dan pelaburan terus datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 peringkat Sarawak di Masjid Jamek Sarawak, di sini.

Dalam pada itu, Tan Sri Abang Johari berkata, keadaan Malaysia yang stabil serta ekonomi yang semakin kukuh membolehkan rakyat, termasuk di Sarawak, menikmati manfaat daripada peningkatan nilai mata wang dan kemasukan pelaburan asing.

Tambah beliau, semakin ramai duta dan pelabur luar negara kini datang ke Sarawak bagi meneroka peluang pelaburan di negeri itu.