Dewan Negara lulus RUU Sistem Insurans Pekerjaan

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan membentangkan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 di Dewan Negara.

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Elaun Bantuan Mobiliti dibayar sekali gus kepada pencari kerja yang berjaya mendapat penempatan baharu.
  • Seksyen 37A adalah satu daripada empat pindaan utama Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 untuk menggalakkan mobiliti.
  • Perluasan peranan PERKESO dalam Akta baharu memudahkan pencari kerja mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan majikan.
  • Amaun denda majikan diselaraskan kepada tidak melebihi RM1,000, RM3,000 dan RM5,000 bagi kesalahan pertama, kedua dan seterusnya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pelaksanaannya bakal membolehkan Elaun Bantuan Mobiliti dibayar secara sekali gus kepada pencari kerja.

“Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 bakal membolehkan Elaun Bantuan Mobiliti dibayar secara sekali gus kepada pencari kerja yang berjaya mendapat penempatan baharu,” katanya ketika membentangkan RUU itu di Dewan Negara, hari ini.

Peruntukan baharu di bawah Seksyen 37A itu merupakan antara empat aspek utama pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Ia bertujuan menggalakkan mobiliti dan meningkatkan peluang Orang Berinsurans (OB) mendapat pekerjaan yang sesuai.

Menurutnya, elaun berkenaan diberikan kepada OB yang melapor diri untuk bekerja bagi tempoh tidak melebihi 12 bulan selepas menerima elaun mencari pekerjaan terakhir atau elaun bekerja semula.

“Jarak tempat pekerjaan baharu hendaklah melebihi 100 kilometer bagi melayakkan OB menerima elaun mobiliti tersebut. Elaun bantuan mobiliti ini juga tidak akan diberikan kpd orang berinsurans yg menerima elaun pendapatan berkurangan iaitu OB yg melebihi satu majikan semasa kehilangan pekerjaan,” jelasnya.

Pindaan itu turut memperluas peranan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Akta Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan 2017 yang baharu bagi memudahkan pencari kerja mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan majikan.

Beliau turut memaklumkan, pada 27 Februari lalu, Jemaah Menteri bersetuju menyelaraskan amaun denda bagi majikan yang gagal melaporkan kekosongan jawatan di bawah Seksyen 45F.

“Denda yang dicadangkan adalah tidak melebihi RM1,000 bagi kesalahan pertama, RM3,000 bagi kesalahan kedua dan RM5,000 bagi kesalahan ketiga atau seterusnya, berbanding cadangan asal RM10,000,” katanya.

Bagaimanapun, OB yang diberhentikan kerja akibat salah laku atau tindakan disiplin tidak layak menerima faedah berkenaan.

Pindaan Akta 800 ini selari dengan strategi meningkatkan kesejahteraan pekerja di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh perlindungan sosial dan mendepani cabaran pasaran buruh yang semakin dinamik.

RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan seramai 12 senator.