KANGAR, 22 Mac - Sebanyak 819 pek darah telah didermakan para penderma aktif dan baharu bermula 2 hingga 21 Mac menerusi penganjuran 17 Kempen Derma Darah Sepanjang Ramadan.
Menurut Pegawai Perubatan, Jabatan Perubatan Transfusi, Dr Mohd Siddqi Abidin, ketika ini bekalan semua jenis darah di Hospital Tuanku Fauziah berada pada tahap selamat.
Namun begitu, Jabatan Perubatan Transfusi sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi musim perayaan Aidilfitri bagi terus meningkatkan stok bekalan darah.
'' Bekalan yang mencukupi dan berada pada paras selamat diperlukan berikutan pelbagai kes kecemasan dihadapi Hospital Tuanku Fauziah terutamanya kes kemalangan yang memerlukan bekalan darah," kata Dr Siddqi.
Beliau memaklumkannya pada Program Mai Derma Darah Be A Hero anjuran UMNO Bahagian Kangar di Jabatan Perubatan Transfusi, sebanyak 36 pek darah berjaya dikumpulkan.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kangar Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya menyasarkan lebih 600 pek didermakan sepanjang penganjuran Program Derma Darah Be A Hero tahun ini.
Sasaran itu berdasarkan jumlah yang berjaya dikumpulkan sepanjang penganjuran program berkenaan tahun lalu iaitu sebanyak 507 pek darah.
Inisiatif pelaksanaan program tersebut sebagai satu tanggungjawab sosial berterusan kepada masyarakat bagi menambah stok bekalan darah di Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Tuanku Fauziah.