KOTA BHARU, 17 Disember-Tiga kes kematian akibat demam denggi dilaporkan di Kelantan tahun 2024.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah kes demam denggi tahun ini meningkat sebanyak 22.1 peratus atau 3,337 kes sehingga 14 Disember lalu berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 2, 733 kes.
Menurut beliau, situasi wabak denggi yang dilaporkan dalam tempoh tersebut adalah 205 wabak, berbanding 213 wabak pada tempoh yang sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 200 wabak telah tamat manakala lima lagi masih aktif.
Pada tahun ini, sembilan lokaliti wabak hotspot berlaku di Kelantan iaitu melebihi 30 hari.
Justeru, JKNK menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan bagi semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.
Antara aktiviti kawalan vektor yang dijalankan ialah pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan.
Datuk Dr Zaini dalam kenyataan medianya berkata, sehingga 14 Disember, 452, 784 premis telah diperiksa tempat pembiakan aedes dan 2, 212 kompaun dengan nilai RM1.1 juta telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan Aedes di dalam premis mereka.
Tindakan itu dibuat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154].